loading...

Jeneral AS Sokong Komplot Rampasan Kuasa Di Turki, Kata Erdogan

ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menuduh seorang jeneral kanan Amerika Syarikat (AS) menyokong komplot rampasan kuasa tentera di Turki, dengan membuat ulasan bahawa pergolakan di Turki boleh menjejaskan kerjasama tentera dengan Washington.

 

“Kamu memihak kepada komplot yang melancarkan rampasan kuasa dan bukan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Turki kerana berjaya menumpaskan rampasan kuasa itu,” kata Erdogan dalam nada marah semasa berucap di sebuah pusat tentera di Golbasi di luar Ankara.

 

Berpuluh-puluh orang terbunuh apabila tentera yang belot menggunakan pesawat pejuang membedil bandar Ankara semasa rampasan kuasa yang gagal itu pada 15 Julai lalu.

 

Media AS memetik Ketua Pemerintah Pusat AS, Jeneral Joseph Votel sebagai berkata bahawa cubaan rampasan kuasa itu dan penahanan berpuluh-puluh jeneral Turki ekoran rampasan kuasa itu boleh menjejaskan kerjasama tentera antara Amerika dan Turki.

 

Terutama, kata Votel, AS kehilangan tokoh-tokoh utama tentera Turki yang kini ditahan di penjara dan didakwa terlibat dalam rampasan kuasa itu.

 

“Sedar di mana kamu!” kata Erdogan kepada Votel, menggunakan kata-kata marah yang sering beliau lontarkan.

 

“Komplot yang merancang rampasan kuasa itu berada di negara kamu (Amerika Syarikat), kamu sedang melindunginya,” katanya, merujuk kepada ulama Fethullah Gulen yang kini berlindung di AS, yang didakwa Ankara menjadi dalang rampasan kuasa itu.

 

Turki ialah negara penting yang menganggotai pakatan tentera diketuai AS dalam kempen memerangi militan Daesh di Syria, dengan pangkalan tenteranya di Incirlik digunakan sebagai hab untuk melancarkan serangan ke atas kumpulan militan itu. – AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...