loading...

Haram Bayar Terus Zakat Kepada Asnaf – Mufti Perak

PARIT BUNTAR — Umat Islam diminta tidak membayar zakat secara terus kepada asnaf kerana perbuatan itu hukumnya adalah haram, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

 

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk membayar zakat kepada pusat zakat yang dilantik oleh kerajaan di setiap negeri.

 

“Mengikut hukum syarak, apabila ada satu badan yang telah dilantik kerajaan untuk mengumpul zakat fitrah dan harta, setiap orang wajib mengeluarkan zakat kepada badan tersebut.

 

“Ini kerana badan itu telah diperintahkan supaya mencari dan mengumpulkan para asnaf yang ada untuk disampaikan secara adil hasil zakat itu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 300 fakir miskin dan sumbangan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) oleh Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng di sini semalam.

 

Setiap fakir miskin menerima sumbangan RM200 dan wakil bagi setiap 10 masjid di daerah Kerian menerima RM2,000.

 

Dr Harussani mengulas berhubung isu viral di Facebook di mana sebanyak 70 peratus orang ramai bersetuju membayar zakat terus kepada asnaf manakala 30 peratus lagi kepada badan pungutan zakat.

 

Menurut beliau, pembayaran seperti itu hukumnya tidak sah dan dikhuatiri asnaf yang menerima itu layak atau tidak menerima zakat.

 

“Pendapat seperti ini salah kerana MAIPk memberikan zakat secara adil kepada asnaf yang layak menerima zakat. Pegawai kita masuk kampung untuk mengesan asnaf yang layak menerima zakat dan gaji mereka kita ambil dari bahagian amil dan bukan dari asnaf,” katanya.

 

Beliau berkata sebanyak 24,936 asnaf menerima zakat dari MAIPk setiap tahun.

 

Selain itu, Dr Harussani berkata MAIPk telah membina dan membaik pulih lebih 600 rumah kepada asnaf di setiap daerah negeri ini yang membabitkan sejumlah RM12.6 juta pada tahun lalu.

 

“Jumlah itu dijangka meningkat kepada RM14 juta pada tahun ini. Setiap sebuah rumah yang dibina mempunyai tiga bilik dengan kos RM48,000 dan RM40,000 bagi rumah dua bilik,” katanya.

 

MAIPk memperuntukkan lebih RM20 juta bagi bantuan bulanan kepada fakir miskin yang tidak berupaya untuk menyara kehidupan mereka, katanya.

 

Beliau berkata MAIPk menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM160 juta pada tahun ini berbanding RM140 juta, tahun lalu.

 

“Sehingga semalam, kita sudah mengutip RM70 juta zakat dan sudah mengagihkan lebih RM80 juta kepada asnaf di negeri ini,” katanya. — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...