loading...

36 Maut Dalam Serangan Bom Berani Mati Di Lapangan Terbang Istanbul

ISTANBUL – Serangan bersenjata dan tiga pengeboman berani mati di lapangan terbang Ataturk, Istanbul mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang dan menyebabkan puluhan yang lain cedera, dalam serangan terkini yang menggegarkan bandar terbesar di Turki.

 

Penyerang mula melakukan serangan berpeluru terhadap pengawal lapangan terbang di pintu masuk terminal sebelum meletupkan diri mereka seorang demi seorang, kata pihak berkuasa Turki.

 

Perdana Menteri Turki Binali Yildirim berkata, penyerang telah membunuh sekurang-kurangnya 36 orang.

 

Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menggesa ‘perjuangan bersama’ antarabangsa terhadap keganasan selepas berlakunya serangan pengeboman maut di Istanbul yang masuk kali keempat.

 

Setakat ini tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang menyebabkan semua penerbangan di lapangan terbang paling sibuk Turki itu digantung.

 

Rakaman kamera keselamatan yang telah tersebar meluas di media sosial menunjukkan dua daripada letupan yang melanda lapangan terbang ini.

 

Dalam satu klip, bebola api besar dilihat meletup di pintu masuk ke bangunan terminal, menyebabkan orang ramai lari berselerakan.

 

Satu lagi video lain menunjukkan seorang penyerang berpakaian hitam berjalan di dalam bangunan itu sebelum rebah, selepas terkena peluru polis dan meletupkan dirinya sendiri.

 

“Ia sangat kuat, semua orang panik dan mula berlari ke semua arah,” seorang saksi memberitahu CNN Turk.

 

Kakitangan keselamatan menjerit kepada penumpang kerana mereka bergegas untuk memindahkan penumpang dari lapangan terbang.

 

Polis telah melakukan kepungan keselamatan di sekitar kawasan, manakala puluhan ambulans bergegas ke tempat kejadian.

 

Turki yang telah dilanda rentetan serangan maut pada tahun lepas, meletakkan kesalahan itu ke atas dua pemberontak, Kurdish dan Negara Islam (IS).

 

Serangan di lapangan terbang Turki juga selaras dengan serangan berani mati di lapangan terbang Brussels dan stesen bandar metro pada Mac yang telah menyebabkan 32 orang mati.

 

Lapangan terbang Brussels telah mengucapkan takziah melalui Twitter: “Kami sentiasa bersama mangsa-mangsa serangan di @istanbulairport.

 

“Kami berharap mereka, saudara-mara mereka, semua kakitangan lapangan terbang tabah.”

 

Agensi berita Dogan memetik sumber polis yang menunjukkan IS dipercayai telah memainkan peranan dalam  kejadian ini, walaupun pegawai-pegawai Turki berkata, masih terlalu awal untuk mengesahkannya.

 

Pakar keselamatan Abdullah Agar memberitahu CNN Turk bahawa serangan menunjukkan tanda jelas ia adalah serangan jihad.

 

“Ia benar-benar ada persamaan dari segi kaedah mereka,” katanya merujuk kepada serangan bom Brussels.

 

Amerika Syarikat dan konsulat Perancis memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhkan diri dari kawasan itu, manakala pegawai Turki berkata penerbangan akan dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya pukul 8 pagi Rabu.

 

Sementara itu Erdogan telah bertemu dengan Perdana Menteri dan ketua tentera.

 

“Kami menggesa dunia, terutama negara-negara Barat, untuk mengambil pendirian tegas terhadap keganasan,” kata Erdogan dalam satu kenyataan.

 

“Walaupun perlu membayar harga yang tinggi, Turki mempunyai kuasa, kesungguhan dan keupayaan untuk meneruskan perjuangan menentang keganasan sehingga akhir.”

 

Istanbul, hab pelancongan utama yang menjadi kediaman kepada kira-kira 15 juta orang, telah mengalami satu siri serangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk pengeboman di tengah-tengah daerah pelancongan yang mengorbankan lebih 10 pelancong Jerman dan telah dikaitkan dengan IS. – mstar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...