loading...

Usahawan Malaysia Di New York Bakal Hasilkan Filem Masakan Malaysia

NEW YORK – Seorang usahawan Malaysia yang berpusat di New York merancang membuat sebuah filem 26 episod berkaitan seni kulinari di Malaysia.

 

Tan Kirby, yang baru-baru ini menjual 25 peratus sahamnya dalam “Malaysian Kitchen Restaurant” di New York, memberitahu beliau telah memperkenalkan suatu konsep untuk penggambaran filem itu bersama sebuah syarikat video dari China di New York, lapor Bernama.

 

Tan yang merupakan anak kelahiran Melaka ini adalah seorang pereka grafik. Beliau memulakan perniagaan restoran Malaysia itu selepas mendapati ada permintaan bagi makanan Malaysia untuk pelanggan di daerah itu.

 

 

Tan berkata beliau bercadang untuk mengetengahkan kepelbagaian sajian dalam 26 episod dengan menonjolkan segala-galanya tentang masakan Malaysia, terutama makanan barbeku.

 

Tan berkata filem itu akan ditaja secara persendirian oleh sekumpulan ahli perniagaan.

 

Tan berkata beliau juga berminat untuk membincangkan kerjasama dengan agensi promosi perdagangan Malaysia iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi filem tersebut memperkenalkan produk makanan dan masakan Malaysia.

 

Penggambaran filem itu akan dijalankan dalam studio atau hotel, dan akan mendidik orang ramai mengenai makanan Malaysia, terutama makanan barbeku.

 

“Kami akan mendidik masyarakat dan mempromosikan makanan Cina Malaysia yang memenuhi selera pengguna Amerika dan keturunan China walaupun ia kurang menggunakan rempah-ratus.

 

“Sejak menjual Malaysian Kitchen Restaurant, yang banyak mencuri masa, saya kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya untuk pembikinan filem,” katanya.

 

Tan berkata beliau akan bekerjasama dengan sebuah syarikat produksi media dikenali ICEPN.com, saluran atas talian dari tanah besar China yang juga melahirkan minat untuk temuduga pelanggan dari Amerika Syarikat dan Malaysia mengenai masakan.

 

Bagaimanapun, sajian Malaysia yang ditonjolkan akan diubahsuai untuk memenuhi selera rakyat Amerika.

 

Beliau berkata selain mengekalkan keaslian hidangan Malaysia, pihaknya akan membuat beberapa pengubahsuaian sebagai tarikan kepada sebilangan pengguna dari Amerika.

 

Masakan Malaysia seperti Laksa Pulau Pinang memang popular di kalangan pengguna di restoran-restoran Malaysia yang tumbuh seperti cendawan di bandaraya ini yang didiami oleh penduduk pelbagai etnik.

 

Program video ini juga akan memperkenalkan masakan panggang dan kukus menggunakan bahan dan rempah-ratus dari Malaysia.

 

“Masyarakat Amerika menggemari makanan panggang dan kita harus memanfaatkan peluang ini. Rakyat Amerika memang suka mengadakan majlis-majlis jamuan yang menyediakan makanan panggang di laman rumah mereka semasa musim panas,” kata Tan.

 

Beliau berkata pelbagai makanan pencuci mulut dari Malaysia juga akan menjadi tarikan kepada selera rakyat Amerika daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

 

Previous
Next Post »
loading...