loading...

Pemimpin BN Usah Melatah Dengan RUU Akta Mahkamah Syariah – Annuar

KUALA LUMPUR – Pemimpin parti komponen dalam BN disarankan supaya bertenang dan tidak melatah dalam menghadapi isu Rang Undang Undang (RUU) Persendirian, Akta 355 Mahkamah Syariah.

 

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata ia bukan petanda yang baik jika pemimpin sendiri memberikan maklumat yang tidak benar.

 

“Kalau kita pemimpin menunjukkan kita melatah atau pun kita memberikan maklumat yang salah itu bukan satu petanda yang baik.

 

“Jadi jangan mewujudkan sebarang suasana yang menimbulkan suasana tidak aman, itu yang penting,” katanya ketika ditemui di Menara Dato’ Onn, hari ini.

 

Annuar berkata walaupun ada dalam kalangan pemimpin yang menyatakan ia hanya pandangan peribadi, mereka perlu diingatkan bahawa apa jua kenyataan haruslah berdasarkan fakta.

 

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata pihaknya akan memanggil pemimpin parti komponen BN secara tertutup untuk membincangkan mengenai isu usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Saya fikir sebagai sebuah keluarga kita akan panggil dan bincang secara tertutup di mana kita rasa ada pihak yang keliru. Kita akan berunding secara tertutup,” katanya.

 

Pada masa sama, Annuar berkata RUU itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan hukum hudud, sebaliknya, ia hanya pindaan kepada Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

 

“Langsung tidak ada kena mengena dengan hudud. Apa yang dikemukakan itu pindaan kepada Akta 355 bukan soal hudud. Terlalu banyak kekeliruan dan maklumat yang salah disampaikan, kemudian ada pula yang melatah hendak ambil langkah itu dan ini. Macam langit dah nak runtuh,” katanya.

 

Hadi pada Khamis lalu membawa usul RUU persendirian berkenaan selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

 

Tindakan Hadi itu menyebabkan beberapa pemimpin di dalam BN mahu meletakkan jawatan di dalam Kabinet sekiranya undang-undang berkenaan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

 

Antara pemimpin yang membantah ialah Presiden MIC Datuk S Subramaniam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong. – FMT

Previous
Next Post »
loading...