loading...

LLM Setuju Tangguh Kutipan Tol Lebuhraya Pantai Timur

KEMAMAN – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersetuju menangguhkan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) yang sepatutnya bermula Jun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Rosli Othman berkata penangguhan itu berkuat kuasa hingga Hari Raya Aidilfitri.

 

Rosli berkata, permohonan penangguhan itu dibuat kerajaan negeri Terengganu bagi meringankan beban rakyat dan memberi peluang kepada pengguna untuk menikmati tol percuma dalam tempoh berkenaan.

 

Ia juga sebagai hadiah kepada rakyat Terengganu yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sekolah, dan perayaan Aidilfitri.

 

“Kita faham, bila musim perayaan, ramai yang akan menggunakan lebuh raya ini untuk balik kampung. Mereka dari luar Terengganu akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 untuk ke destinasi Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu.

 

“Di samping itu, pengguna yang berasal dari Kelantan juga akan menggunakan kemudahan ini,” kata Rosli.

 

Menurutnya, pengurusan membabitkan kutipan tol antara LLM, Jabatan Kerja Raya dan pihak konsesi sudah diselesaikan.

 

Pihak konsesi juga telah menempatkan kakitangannya di sepanjang lebuh raya bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

 

Hentian Rehat dan Rawat yang sebelum ini kosong juga sudah mula beroperasi sepenuhnya.

 

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan persediaan bagi kemasukan matrikulasi dan diploma semester satu di Kerteh, Kemaman. – Awani

Previous
Next Post »
loading...