loading...

Kumpulan Kedua Rakyat Syria Selamat Tiba Di Malaysia Semalam

KUALA LUMPUR – Kumpulan kedua membabitkan seramai 68 migran daripada 18 keluarga dari Syria selamat tiba di tanahair sebagai kesinambungan komitmen Malaysia dalam memberi bantuan kemanusiaan di negara yang bergolak.

 

Kumpulan migran dari Kem Lembah Bekaa, Lebanon itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor pada pukul 11.20 pagi semalam menaiki pesawat AirAsia yang disewa khas dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

 

Zahid berkata, migran tersebut berjaya melepasi tapisan aspek keselamatan dan kesihatan oleh pegawai dari agensi-agensi Kementerian Dalam Nege­ri (KDN) Beirut sebelum ini.

 

“Kita menyasarkan seramai 150 migran namun hanya 68 yang dapat dibawa ke Malaysia.

 

“Daripada jumlah itu, terdapat migran yang terdiri dalam kalangan golongan profesional seperti pensyarah dan jurutera. Mereka akan ditempatkan di penempatan sementara yang kondusif di Apartmen Setia Alam, Shah Alam.

 

“Migran ini akan diberi dokumen perjalanan kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut migran Syria itu di Subang semalam.

 

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, Duta Besar Lebanon Ke Malaysia, Ali Daher dan Pengerusi Gabungan NGO Kemanusiaan Syria, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada perbahasan sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Oktober tahun lalu menyatakan persetujuan untuk menerima 3,000 pelarian perang Syria secara berperingkat-peringkat dalam tem­poh tiga tahun akan datang.

 

Pada 8 Disember lalu, kumpulan pertama lapan orang migran Syria dari dua keluarga selamat tiba di Malaysia.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penglibatan serta kerjasama daripada sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Program Penempatan Sementara Migran Syria amat dialu-alukan.

 

Kata beliau, langkah tersebut dapat memastikan usaha-usaha yang dirancang di peringkat agensi serta jabatan kerajaan terlibat dapat dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif.

 

“Masyarakat Malaysia sebagai masyarakat prihatin perlu tampil untuk memberi bantuan. Saya telah menulis kepada beberapa organisasi untuk memberi bantuan terhadap perkakas rumah golongan tersebut. Orang ramai juga diseru memberi sumbangan kewangan kepada usaha murni ini. Saya harap pihak NGO dapat menghulurkan bantuan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejumlah 500 migran dari Syria akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat sepanjang tahun ini. – MalaysiaGazette

Previous
Next Post »
loading...