loading...

BN Guna Multimedia Untuk Kempen Mastura Di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Kaedah multimedia termasuk video konfrensi akan digunakan sebagai penghubung antara jentera dengan calon BN sepanjang kempen  PRK Parlimen Kuala Kangsar.

 

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kaedah yang pertama kali diperkenalkan dalam kempen pilihan raya itu bagi menghormati hukum agama membabitkan seorang wanita dalam edah untuk bertemu orang ramai.

 

Menurutnya, bagi menjayakan pendekatan itu, layar skrin akan dipasang di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan setiap mesej calon akan disampaikan melalui rakaman yang dibuat dari masa ke semasa.

 

“Kita pun tak pernah ada pengamalan guna kaedah seperti ini, tetapi saya fikir dengan adanya media baru konsep multimedia ini, ia dapat membantu menyampaikan apa juga mesej yang mahu disampaikan calon kepada jentera.

 

“Dalam majlis-majlis tertentu pun, kita boleh gunakan konsep video konfrensi, asalkan tak melanggar aturan agama,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN, hari ini.

 

Balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid, 55, diumum sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar.

 

Annuar berkata, meskipun diakui terdapat kekangan untuk tidak memungkinkan calon bertemu khalayak dan jentera, namun ia bukan satu halangan besar.

 

Katanya, Mastura sendiri telah dikenali masyarakat akar umbi di kawasan itu dan rakyat memahami keadaan yang dihadapi calon pada ketika ini.

 

“Mungkin ada setengah pihak tidak memahaminya, tapi soal larangan seorang wanita dalam edah itu wajib dipatuhi dan perlu diutamakan.

 

“Pembangkang boleh bawa isu ini, tapi pada mereka yang faham agama, mereka akan menghormatinya,” katanya. – Sinar

Previous
Next Post »
loading...