loading...

AMANAH Tidak Gerun Tiga Penjuru Di PRK Sungai Besar

PETALING JAYA – AMANAH menolak pendapat sesetengah pihak yang mengatakan pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Besar akan memberi kemenangan kepada calon BN.

 

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Abdul Samad berkata parti itu akan meletakkan calon sesuai untuk memberikan alternatif lebih baik kerana pengundi Melayu mungkin tidak mahu mengundi BN atau PAS.

 

“Sebab itu, kita letakkan calon supaya beri satu alternatif yang lebih baik dan meyakinkan kepada pengundi kerana kami melihat undi Melayu belum tentu kekal pada BN.

 

“Kita juga yakin undi Melayu takkan pergi kepada PAS kerana mereka juga seperti BN, sebaliknya undi berkenaan pergi kepada AMANAH atau Pakatan Harapan,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Malah, Khalid berkata beliau yakin pertembungan tiga penjuru pasti berlaku di Sungai Besar walaupun tanpa AMANAH bertanding di situ.

 

“AMANAH sejak kelahirannya sudah tahu soal tiga penjuru ini kemungkinan dan masalah timbul apabila PAS mempunyai satu sikap keras kerana tak mahu bekerjasama.

 

“Kalau AMANAH tak ada, tiga penjuru tetap akan berlaku sama ada dengan BN, PAS, DAP atau PKR,” katanya.

 

Sabtu lalu, BN mengumumkan ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi sebagai calon, manakala PAS menamakan ADUN Meru Dr Rani Osman mewakili parti itu untuk merebut kerusi Parlimen Sungai Besar.

 

AMANAH dijangka mengumumkan calonnya pada Rabu ini bagi melengkapkan senarai pertembungan tiga penjuru.

 

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong susulan penyandangnya maut dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak awal bulan ini. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 18 Jun. – FMT

Previous
Next Post »
loading...