loading...

Persatuan Majikan Desak Pembekuan Pekerja Asing Ditarik Balik Segera

KUALA LUMPUR – Buat pengumuman tentang pekerja asing ‘secepat mungkin’, gesa majikan dan persatuan perniagaan kepada kerajaan.

 

Mereka bertindak balas terhadap komen Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa keputusan mengenai pembekuan pekerja asing akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang Hua Keong  berkata menarik balik larangan itu adalah ‘penting’, dengan mendakwa 12 peratus daripada syarikat yang menjadi ahli terpaksa gulung tikar atau mengecilkan perniagaan kerana pembekuan itu.

 

“Ahli-ahli persatuan kami dijangka kehilangan 30 peratus daripada hasil dalam tempoh 12 bulan akan datang jika ini berterusan.

 

“Mereka tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk meneruskan pengeluaran dan mengumpul pesanan. Kami berharap Zahid boleh mengumumkannya secepat mungkin,” katanya.

 

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Tan Sri K. Kenneth Eswaran menambah bahawa restoran India-Muslim, kedai gunting rambut dan perniagaan besi buruk berdepan masalah kekurangan pekerja yang teruk pada masa sekarang.

 

Walaupun memuji kerajaan kerana mendengar rungutan mereka, Kenneth berkata pihak berkepentingan sepatutnya dilibatkan terlebih dahulu sebelum pembekuan itu dilaksanakan.

 

“Kami memerlukan pekerja asing kerana tidak ada penduduk tempatan mahu bekerja dalam perniagaan ini. Terus terang, mereka sepatutnya bercakap dengan organisasi terlebih dahulu kerana ini telah memberi kesan kepada ramai orang yang berniaga,” katanya.

 

Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Datuk Low Kian Chuan berharap untuk mendengar berita baik, yang mungkin akan menyaksikan perniagaan akhirnya dapat berjalan lancar selepas mengalami kejatuhan dalam tempoh dua bulan.

 

“Kami mengalu-alukannya. Beberapa syarikat terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengurangkan operasi dan permintaan. Sekarang jika kita boleh mendapatkan semula pekerja, syarikat-syarikat boleh menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.

 

Naib Presiden Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Naim Mohamad berkata, jika pekerja dibenarkan masuk semula, syarikat dan majikan perlu menyediakan beberapa kemudahan yang lebih baik untuk mereka dan mengenakan keselamatan lebih tegas dari aspek pergerakan untuk membendung gejala sosial dan kebimbangan awam.

 

“Kita perlukan pekerja asing, tetapi ia telah menjadi suatu sentimen kerana terdapat masalah sosial dan jenayah yang berkait dengannya. Jika industri bersedia untuk menjamin dan menjaga masalah-masalah ini, maka semua orang akan senang,” katanya.

 

Naim mencadangkan agar majikan mengesan pergerakan pekerja melalui GPS dalam telefon ketika mereka bertugas bagi mengelakkan berlakunya sebarang jenayah atau ‘isu-isu moral’.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memuji Dr Ahmad Zahid, mengatakan bahawa komen beliau membuktikan kerajaan telah mendengar keluhan dan cadangan perniagaan tempatan.

 

“Beliau (Zahid) mendengar masalah mereka. Persatuan-persatuan, dari semasa ke semasa, telah menyerahkan banyak memo kepada beliau dan beliau bertindak balas. Saya yakin pengumuman beliau adalah untuk kebaikan pekerja,” katanya. – mstar

Previous
Next Post »
loading...