loading...

DAP Nafi Azmin Hubungi Guan Eng Bincang Kerusi Bertindih

SHAH ALAM – Pertembungan DAP, PKR di enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak memang amat dikesali, namun perkara itu sudah pun terjadi dan calon tidak boleh menarik diri.

 

Setiausaha Publisiti  DAP, Tony Pua berkata, apa yang boleh dilakukan sekarang adalah semua pihak perlu bergerak ke hadapan dan fokus terhadap kempen menentang BN dan tidak terpengaruh dengan pertikaian dalaman itu.

 

“Kami mempunyai 74 kerusi lain untuk berjuang melawan BN. Kami mempunyai 10 hari lagi untuk berkempen dan memberikan fokus sebaiknya menentang BN,” katanya.

 

Enam kerusi Dun yang menjadi pertikaian tersebut ialah Mulu, Mambong, Ngemah, Murum, Simanggang dan Batu Kitang.

 

Dalam pada itu, Tony turut membidas dakwaan  Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang disifatkan tidak benar bahawa Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kerap berhubung dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai enam kerusi itu.

 

“Itu tidak benar. Walaupun Guan Eng telah dimaklumkan melalui sumber pihak ketiga berulang kali dalam tempoh dua minggu itu, Azmin bercadang memanggil beliau untuk merundingkan semula perjanjian pembahagian kerusi itu, Guan Eng  tidak pernah menerima apa-apa panggilan dari Azmin dalam tempoh itu, katanya.

 

“Guan Eng hanya menerima panggilan daripada Azmin pada malam Ahad sebelum penamaan calon pada keesokan harinya,” katanya.

 

Jelas Tony lagi, penyelesaian secara baik telah pun dicapai di mana kedua pihak berkompromi dan keputusan telah diluluskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 11 April.

 

“Mana-mana percubaan untuk merundingkan semula apa yang PKR kompromi tanpa mengambil kira apa yang DAP telah kompromi sebelum ini tidak boleh diterima.

 

“Apa guna kedua-dua pihak membelanjakan RM108,000 pada kaji selidik Merdeka Center jika mereka (DAP dan PKR) tidak mematuhi keputusan,” ujar beliau.

 

Menurut Tony, Azmin hanya diminta untuk mengambil tambahan tiga kerusi daripada DAP, iaitu Mulu, Murum dan Mambong.

 

“Inilah sebabnya mengapa mereka terkejut apabila PKR meletakkan calon di lima kerusi termasuk Simanggang dan Ngemah,” katanya.

 

Menurut Tony, dengan meletakkan calon PKR di kerusi tersebut, Azmin tahu peluang Pakatan Harapan untuk menang hampir sifar.

 

Beliau juga menafikan kenyataan Mansor bahawa PKR dan DAP gagal mencapai kata sepakat mengenai kerusi, tetapi bersetuju untuk menyelesaikan isu  ini pada pusingan seterusnya dan berusaha ke arah satu lawan satu dengan BN.

 

“Mansor mesti telah dikelirukan, malah saya  sendiri hadir di mesyuarat itu,” katanya.

 

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 82 Dun dipertandingkan, dan dari jumlah itu, dua Dun telah dimenangi BN tanpa bertanding iaitu di Dun Bukit Sari dan Dun Bukit Kota. – Sinar

Previous
Next Post »
loading...