loading...

Abang ‘Terlajak Laris’ Janji Takkan Ganggu Pengurusan Skuad Kedah

KUALA LUMPUR — Tiada sebarang tekanan akan dibuat terhadap skuad Lang Merah, malah hal-hal pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga tidak akan diganggu, kata Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

 

Pemilik syarikat kosmetik D’Herbs Healthy Sdn Bhd yang terkenal dengan jolokan “Terlajak Laris” itu juga berjanji tidak mengharapkan pulangan segera hasil RM30 juta yang bakal ditajanya nanti.

 

“Tujuan utama penajaan ini bukan untuk melawan mana-mana pihak, sebaliknya saya bersetuju [untuk menaja] kerana mahu membantu pembangunan bola sepak negeri Kedah itu sendiri.

 

“Kami tidak akan sesekali menarik balik tajaan walaupun walau apa pun yang terjadi kerana kami sedar adalah adat perlawanan ada turun naik, malah perubahan yang diharapkan juga janganlah terlalu drastik kerana semua ini memerlukan masa,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, semalam.

 

Beliau berharap tajannya dapat membantu Kedah melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat setanding pasukan luar negara.

 

Aliff pada 23 April lalu mengumumkan akan menaja Kedah RM30 juta dalam tempoh tiga tahun, selepas perlawanan antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Darul Aman, Alor Setar, yang berkesudahan seri 1-1.

 

Komen Aliff Syukri diberi ekoran kontroversi yang menyelubungi tajaan jutawan kosmetik saingan beliau, Datuk Seri Hasmiza Othman, kepada skuad Kelantan.

 

Hasmiza, yang juga dikenali sebagai Vida, baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau mungkin akan menarik balik tajaan akibat kecewa dengan pretasi skuad The Red Warriors yang tidak konsisten. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...