loading...

Lelaki Misteri Lepas 10 Das Tembakan Di Penjara Alor Setar

ALOR SETAR – Seorang warden penjara berdepan detik cemas selepas seorang lelaki tidak dikenali melepaskan enam das tembakan ke arahnya di balai pengawal dan empat das lagi di menara kawalan berhampiran dalam satu kejadian di Penjara Alor Setar di sini, malam tadi.

 

Mohd Fitri Abdul Zaman, 31, berkata kejadian 10.45 malam itu berlaku ketika dia sedang bertugas di balai pengawal penjara itu sebelum menyedari kehadiran dua suspek lelaki yang menaiki motosikal.

 

“Masa kejadian saya sedang duduk di dalam balai pengawal sebelum menyedari sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki berhenti kira-kira 10 meter dari balai pengawal sebelum seorang daripada suspek turun dan melepaskan enam das tembakan.

 

“Suspek turut melepaskan empat das tembakan lagi ke arah dua pegawai yang berada di menara kawalan berhampiran. Selepas itu suspek terus menaiki motosikal dan beredar dari tempat kejadian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

Mohd Fitri berkata dia yang bertugas seorang diri di balai pengawal tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat meniarap semasa suspek melepaskan tembakan itu.

 

“Pegawai di menara kawalan juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Selepas suspek beredar, saya terus menghubungi pegawai penjara untuk memaklumkan kejadian dan pegawai terbabit terus menghubungi polis,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mohd Nashir Ya berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.02 malam.

 

“Warden penjara yang sedang bertugas memaklumkan seorang lelaki turun dari motosikal dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah balai pengawal dan menara kawalan.

 

“Motif kejadian sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – Bernama

Previous
Next Post »
loading...