loading...

Kelantan Antara Penerima Peruntukan Tertinggi Cecah RM400 Juta – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan tahunan RM400 juta kepada Kelantan yang disifatkan antara tertinggi tahun lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, Kelantan tetap menerima bahagian tinggi selain wang ihsan dan peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) walaupun tidak ditadbir Barisan Nasional (BN).

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan RM400 juta itu disalurkan ke dalam akaun kerajaan negeri, manakala agensi lain termasuk agensi persekutuan di negeri itu menerima peruntukan lain.

 

“Bayaran untuk Kelantan boleh dikatakan antara tertinggi walaupun tidak berada di bawah kerajaan BN,” katanya menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Nasrudin mahukan penjelasan sama ada semua peruntukan RM400 juta itu dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri atau diagihkan kepada agensi lain.

 

Kepada soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir MAS) mengenai kesediaan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi program `Dapur Hijau’ oleh Kerajaan Kelantan bagi mengurangkan kos sara hidup, Najib berkata, agihannya terpulang kepada kerajaan negeri.

 

“Kelantan terima peruntukan besar. Daripada RM400 juta ini ditambah dengan duit ihsan dan peruntukan RMKe-11, terpulang pada kerajaan negeri untuk agihkan bagi menjalankan program membantu rakyat Kelantan,” katanya.

 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Nor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai), Najib berkata, antara punca utama tekanan dari kos sara hidup ialah taraf pendidikan yang masih di peringkat rendah.

 

Beliau berkata, rakyat gagal mendapat pekerjaan yang memberi pendapatan lebih baik kerana tidak memiliki pendidikan tinggi dan kemahiran tertentu.

 

“Lebih ramai rakyat harus memiliki kelulusan tambahan atau menjadi usahawan untuk meningkatkan pendapatan dan ini yang mesti kita tanam dalam minda mereka,” katanya. – BHarian

Previous
Next Post »
loading...