loading...

Enam Rakyat Filipina Guna Kad Pengenalan Palsu Mengaku Warga Malaysia Ditahan

SETIAWAN – Cubaan enam warga Filipina untuk menggunakan kad pengenalan palsu bagi mendapatkan kerja gagal apabila ditahan dalam satu operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah kawasan perindustrian di sini pada Khamis.

 

Dalam operasi yang dikenali sebagai Operasi Semak Kad Pengenalan atau Op ID itu, kesemua mereka turut mengakui kononnya merupakan warga tempatan dari Sabah dan berumur dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun.

 

Mereka ditahan dalam operasi bersepadu sepasukan 65 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya dan JPN negeri dengan kerjasama daripada Jabatan Imigresen Negeri Perak.

 

Ketua Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim berkata keenam-enam lelaki tersebut dipercayai menggunakan taktik tersebut untuk memperoleh kebenaran bekerja di sekitar kawasan itu.

 

“Tiga daripadanya menggunakan kad pengenalan tulen namun mereka bukanlah pemilik asal kad berkenaan, dan selebihnya adalah palsu berdasarkan ketiadaan data mereka di dalam sistem pengesahan identiti di JPN.

 

“Pihak kami percaya bahawa mereka mendapat kad pengenalan itu sama ada melalui sindiket atau mencuri malah disyaki membeli dokumen identiti itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas operasi yang bermula seawal 6 pagi itu berakhir.

 

Katanya, sekeping kad pengenalan yang dipercayai dijual melalui sindiket atau dalam pasaran gelap boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

 

Menurut beliau, operasi tersebut dijalankan hasil risikan dan aduan pihak awam yang mendakwa kebanjiran warga asing di daerah ini dan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

 

Katanya, daerah Manjung antara lokasi yang mencatatkan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri tertinggi di seluruh Semenanjung Malaysia dan didaftarkan sebagai “blackspot” atau kawasan hitam.

 

“Justeru,saya ingin menasihatkan kesemua pengusaha kilang dan pemilik perindustrian agar menggunakan penapisan terperinci dengan merujuk kepada pihak kami dan pihak berkenaan dalam mengesahkan ketulinan dokumen pengenalan diri khususnya warga asing.

 

“Hal ini amat penting kerana individu tidak bertanggungjawab boleh menyalahgunakan kad pengenalan untuk pelbagai jenis urusan di seluruh Malaysia termasuklah aspek keselamatan,” tegasnya

 

Kesemua yang ditahan akan dihantar ke pihak penguatkuasaan JPN Perak bagi siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1990.

 

Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen Negeri Perak turut berjaya menahan 13 warga asing membabitkan kesalahan di bawah 6(1)(c) Akta Imigresen 1969. – Awani

Previous
Next Post »
loading...