loading...

Video: 300,000 Hadiri Perarakan Chingay Di Johor Bahru

Johor Bahru – Festival Perarakan Chingay yang berlangsung di pusat bandar raya, di Johor Baharu malam tadi mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

 

Festival itu mencatat sejarah tersendiri apabila pertama kali dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memalu gendang besar semasa pelancaran festival itu.

 

Perarakan Chingay adalah acara tahunan yang menonjolkan kehebatan membawa tiang bendera setinggi kira-kira 15 meter dan mengimbarkan bendera tiga segi sepanjang kira-kira 10 meter ia juga tarikan pelancong ke negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata, sambutan kali ini juga rata-rata turut disertai oleh belia.

 

“Sepanjang penglibatan saya, sambutan kali ini amat luar biasa dengan menyaksikan paling ramai pengunjung datang khususnya golongan belia. Mereka juga menunjukkan taat setia kepada Tuanku Sultan Johor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa perarakan itu berlangsung.

 

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu, Datuk Seri Tey Kim Chai.

 

Perarakan festival kali ke-144 itu disertai lima tokong dan 19 kereta berhias yang berarak sejauh 10 kilometer bermula dari Kuil Kuno di Jalan Trus, memasuki Kuil Xing Hong di Jalan Ulu Air Molek dan berakhir di Jalan Wook Ah Fook.

 

Perarakan diserikan dengan persembahan bunga api dan tarian tarian tradisional daripada tiga kaum utama negara ini iaitu tarian zapin, tarian tradisi kaum Cina dan India.

 

Turut mencuri perhatian, penampilan maskot monyet bersempena sambutan Tahun Monyet dan pelbagai jenis tarian naga berwarna-warni.

 

Sultan Ibrahim berangkat meninggalkan majlis pada 10.30 malam selepas hampir dua jam menyaksikan pelbagai persembahan dan perarakan.

 

Sementara itu, Tey dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana perarakan yang disambut meriah itu dapat memupuk perpaduan antara kaum dan pelbagai budaya serta tradisi.

 

“Sambutan yang penuh gemilang ini merupakan satu platform dalam menyatupadukan rakyat bukan sahaja rakyat di negeri ini malah melibatkan masyarakat seluruh negara, ” katanya.

Previous
Next Post »
loading...