loading...

Tun Mahathir Dijemput Sertai Perjuangan Islam – PAS

Kuala Lumpur – PAS bersedia menerima Tun Dr Mahathir sekiranya bekas Perdana Menteri itu mahu menyertai parti itu susulan keputusanya untuk keluar dari UMNO.

 

Malah, parti yang mendukung perjuangan Islam itu turut akan menerima mana-mana individu sekiranya mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dalam memperjuangkan Islam.

 

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, parti itu sentiasa bersedia sekiranya Dr Mahathir berminat untuk bersama memperjuangkan Islam sebagai dasar bernegara serta menentang kezaliman pemerintah dalam mengurus wang negara.

 

“Dr Mahathir tidak mampu bersendirin tanpa wadah politik bagi membawa idea-idea beliau. Dr Mahathir boleh bersama PAS sekiranya beliau berminat untuk bersama memperjuangkan Islam sebagai dasar bernegara.

 

“(Malah) Dr Mahathir boleh bekerjasama dengan PAS bagi memperjuangkan penentangan terhadap sebarang kezaliman dan ketidaktelusan dalam pengurusan kewangan negara,” katanya.

 

Katanya, PAS mengamalkan politik matang dan sedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh demi kebaikan negara.

 

“Berasaskan politik matang dan sejahtera yang menjadi pendekatan PAS sebarang kerjasama politik khususnya dengan tokoh-tokoh seperti Dr Mahathir, Tan Sri Muhyidin dan Mukhriz pasti memberi kebaikan untuk negara,” katanya.

 

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keputusan Dr Mahathir meninggalkan UMNO amat mengejutkan.

 

Ini kerana katanya, pertemuan beliau dengan negarawan itu sejak kebelakangan ini langsung tidak menunjukan sebarang petanda ia akan berbuat demikian.

 

“Saya tidak pernah membayangkan beliau akan keluar dari UMNO tetapi keputusan Tun M buat itu jelas menggambarkan bertapa kecewanya beliau terhadap Najib. Malah, beliau juga kecewa kerana UMNO sudah jadi parti pak turut,” ujarnya.

 

Mahfuz yang juga bekas ketua penerangan PAS menambah, beliau tidak bersetuju sekiranya Dr Mahathir menyertai parti pembangkang kerana waktu sekarang ini amat tidak sesuai bagi beliau.

 

“Bukan masa sesuai untuk Tun M sertai pembangkang tetapi Tun M perlu memimpin gerakan rakyat melalui fakta serta menarik semua pihak bersatu untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...