loading...

Iskandar Malaysia Raih Pelaburan Keseluruhan RM190.29 Bilion

JOHOR BAHRU – Iskandar Malaysia meraih pelaburan baharu berjumlah RM4.94 bilion bagi suku keempat 2015, menjadikan pelaburan komited terkumpul di wilayah pembangunan itu sebanyak RM190.29 bilion bagi tempoh 2006 hingga 31 Disember 2015.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, RM98.47 bilion atau 52 peratus adalah pelaburan atau projek yang sudah direalisasikan.

 

Katanya, walaupun dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, Iskandar Malaysia masih mampu mencatat pelaburan domestik dan luar negara menggalakkan dengan meraih pelaburan sebanyak RM32.16 bilion sepanjang tahun lalu.

 

“Kami berjaya melepasi sasaran tahunan dan mencatat RM5.39 bilion peningkatan bagi pelaburan komited sejak 2014, dan ini adalah hasil kerjasama erat pemain strategik di Iskandar Malaysia, kerajaan dan rakyat dalam merealisasikan wawasan Iskandar Malaysia.

 

“Iskandar Malaysia sudah memulakan fasa ketiga pembangunannya selama 20 tahun yang dimulakan sejak 2006 yang mana fasa akhir ini memberi tumpuan kepada ‘inovasi dan mapan’.

 

“Pada peringkat ini, kita dapat melihat projek pemangkin yang sudah beroperasi iaitu EduCity, LEGOLAND dan Pinewood Iskandar Malaysia Studios mula memberi limpahan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Ismail berkata, dari tempoh 2007 hingga 2015, sejumlah 682,169 pekerjaan diwujudkan di Johor membabitkan pelbagai sektor di Iskandar Malaysia termasuk pembuatan, hospitaliti, makanan dan minuman serta pendidikan. – BHarian

Previous
Next Post »
loading...