loading...

Parti Amanah Bukan Ancaman Kepada PAS – Rani Osman

SHAH ALAM – Kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah) bukan ancaman buat Pas, malah penghijrahan serpihan Pas itu dianggap sebagai satu hikmah.

 

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, perkara itu dapat dilihat apabila adanya pertambahan ahli menyertai Pas.

 

“Apabila Amanah dibentuk, orang ramai mula buka mata dan kini ahli Pas berdaftar sudah lebih sejuta seluruh negara, ini kelebihan besar buat Pas.

 

“Sebab itu kita tidak ambil kisah dengan Amanah sebab mereka bukanlah ancaman malah sedikit pun tidak mengganggu kelangsungan Pas,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Menurutnya, Pas Selangor tidak berkecil hati dengan layanan dan penerimaan bekas rakan sekutu PR iaitu PKR dan DAP terhadap Amanah.

 

“Buat masa ini, Selangor ditadbir dengan semangat PR menerusi mandat PRU13, kita kerjasama seperti biasa… uruskan masalah negeri, masalah rakyat bersama PKR dan DAP.

 

“Kita masih mesyuarat, bergurau senda dan selesaikan masalah rakyat dengan harmoni sehingga menjelang PRU14,” katanya.

 

Adun Meru itu juga tidak menghalang pimpinan Amanah membuat ceramah di kawasannya malah bersifat terbuka.

 

“Amanah ada hak nak buat ceramah di Meru. Biasalah awal-awal kemunculan orang memang ramai datang sebab nak dengar punca mereka keluar Pas.

 

“Saya tak halang, biarkan itu hak mereka nak berceramah cari pengikut. Tetapi masyarakat sekarang bijak menilai,” katanya.

 

Sementara itu, Dr Abd Rani berpendapat berdasarkan logik, DAP sepatutnya bertoleransi menyerahkan kerusi mereka kepada Amanah pada pilihan raya akan datang.

 

“Pendirian Pas, tidak akan sesekali menerima kembali Amanah kerana mereka sudah keluar dan dibuang… Kita tidak akan terima,” katanya. – Sinar

Previous
Next Post »
loading...