loading...

MP Langkawi Enggan Komen Dakwaan Istana Kedah ‘Murka’

Alor Setar – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad enggan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan kononnya pihak istana ‘murka’ dengan tindakan ketua-ketua Umno bahagian Kedah yang membuat sidang akhbar tergempar bagi menggesa Datuk Seri Mukhriz meletakkan jawatan.

 

Beliau ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi berulang kali menyatakan pihaknya tidak mahu memberikan sebarang ulasan berhubung isu tersebut.

 

“No komen, no komen… buat masa ini saya tidak mahu memberikan sebarang ulasan.

 

“Saya hanya jaga kawasan terpencil yang terpisah dari Malaysia, jadi kalau boleh saya tak nak komen apa-apa” ujarnya berulang kali.

 

Terdahulu Mukhriz melalui satu kenyataan berkata Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan tindakan kumpulan ‘pemberontak’ yang mendesak beliau berundur dari jawatan Menteri Besar.

 

Mukhriz melalui kenyataan yang sama turut mendesak mereka memohon maaf kepada istana sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana melakukan provokasi ketika Sultan Kedah menyambut hari keputeraan baginda yang ke 88.

 

“Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

 

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut” ujarnya melalui kenyataan tersebut.

 

Sementara itu Nawawi ketika ketika ditanya mengenai perjumpaan khas Adun-Adun Kedah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya petang ini menjelaskan pihaknya tidak mendapat sebarang jemputan.

 

“Saya tak tahu, sebab tidak menerima sebarang jemputan mengenai perjumpaan tersebut” ujarnya ringkas sebelum mematikan talian telefon.

 

Terdahulu sumber dalaman Umno Kedah berkata, esok akan menjadi hari penentu sama ada menteri besar baharu akan dilantik atau sebaliknya.

 

“Mungkin esok selesai isu nama baharu menteri besar Kedah,” katanya.

 

Kemelut politik Kedah sudah berlarutan lebih seminggu selepas sidang media diadakan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pada 20 Januari lalu. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...