loading...

Kelab Malam ‘Lelong’ Pelayan Wanita RM10,000 Diserbu

KUALA LUMPUR — Sebuah premis kelab malam di Jalan Pudu Metro 2 di sini yang dipercayai ‘membida’ wanita warga asing dengan harga permulaan mencecah RM10,000 untuk satu malam, diserbu Khamis.

 

Premis berkenaan diserbu kira-kira pukul 11 malam oleh Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman menerusi operasi Noda dan Cantas.

 

Ketua Penolong Pengarah STAGG, SAC Khairi Ahrasa berkata pelayan pelanggan (GRO) premis itu akan dikalungkan dengan kain selempang menunjukkan ‘tanda harga’ bermula serendah RM50 sehingga RM10,000 di atas pentas untuk dipilih pelanggan.

 

“Siapa yang boleh beli kalung itu akan dapat bawa dan tidur dengan perempuan itu (GRO). Ini lebih kepada pelanggan yang ingin menunjuk-nunjuk kekayaan,” katanya kepada Bernama.

 

Berikutan itu, katanya, seorang pengurus lelaki tempatan ditahan bersama seorang pekerja lelaki tempatan serta sembilan warga Bangladesh.

 

Sekumpulan GRO warga Thailand yang sedang asyik melayan tetamu, menari dan melakukan pertunjukkan pentas ketika serbuan turut ditahan.

 

“Semua GRO yang ditahan berusia antara 22 sehingga 41 tahun dan hasil pemeriksaan mendapati mereka bekerja tanpa permit yang sah,” katanya.

 

Beliau berkata premis itu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM80 hingga RM150 sejam.

 

“Semua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfieds untuk tindakan lanjut,” katanya. — Bernama

Previous
Next Post »
loading...