loading...

Jemaah Pemangku Sultan Kedah Buat Penilaian Isu Ganti MB

PETALING JAYA – Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengenai isu Menteri Besar negeri itu.

 

Difahamkan bahawa tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah mahu bertemu wakil rakyat BN secara individu esok supaya mereka boleh membuat penilaian mengenai situasi semasa sebelum penyelesaian muktamad dibuat.

 

Sumber politik Kedah berkata langkah itu perlu dibuat susulan keengganan Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

 

Semua 21 wakil rakyat BN akan dipanggil termasuk Mukhriz.

 

Sumber juga percaya bahawa mesyuarat itu yang akan diadakan di Alor Setar bertujuan untuk Jemaah Pemangku Sultan Kedah menilai sendiri sama ada majoriti wakil rakyat BN menyokong perubahan Menteri Besar.

 

Sebanyak 19 wakil rakyat dilaporkan menandatangani akuan bersumpah pada minggu lepas bersetuju dengan perubahan itu.

 

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dan akuan bersumpah itu membayangkan bahawa langkah BN untuk melakukan perubahan Menteri Besar mendapat sokongan majoriti.

 

Tetapi terdapat dakwaan bahawa beberapa wakil rakyat menandatangani akuan bersumpah berkenaan dalam keadaan terpaksa.

 

Adun Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Shariff mendakwa semasa ceramah awal minggu ini bahawa beliau didesak untuk menandatangani akuan berkenaan.

 

Perkembangan terbaharu itu dilihat mempunyai persamaan dengan krisis Menteri Besar Perak sebelum ini apabila Sultan bertemu dengan beberapa wakil rakyat untuk menilai pendirian mereka mengenai krisis di Perak.

 

Pada Jumaat lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan nama calon yang dicadangkan untuk dilantik sebagai menteri besar baharu kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

 

Beliau juga telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung perkara itu pada Rabu. – mstar

Previous
Next Post »
loading...