loading...

Hari Pengundian PRN Sarawak 30 April, Penamaan Calon 18 April – Adenan

KUCHING – Tan Sri Adenan Satem membuat kejutan pada malam Jumaat apabila mengumumkan bahawa beliau telah mengemukakan tarikh yang dicadangkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 

Menurut Adenan, beliau sudah bertemu dengan SPR dan memutuskan untuk menetapkan Sarawak bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) pada 30 April ini.

 

Malah beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak turut mengumumkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon.

 

Adenan mengumumkan kedua-dua tarikh itu dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Persiapan Menghadapi PRN-11 Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, di sini, malam Jumaat.

 

“Saya sudah bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memutuskan untuk menetapkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada 30 April,” katanya.

 

Namun Pengarah SPR Negeri, Datuk Takun Sunggah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen lanjut.

 

Adenan bagaimanapun tidak mengumumkan tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan.

 

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada Jun 2016.

 

PRN Sarawak yang lalu diadakan pada 2011 dengan menyaksikan BN mengekalkan majoriti dua pertiga DUN Sarawak. – mstar

Previous
Next Post »
loading...