loading...

Azalina gesa henti persoal keputusan Peguam Negara

SHAH ALAM – Semua pihak perlu menghormati keputusan Peguam Negara yang mengesahkan bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia adalah keputusan yang dibuat setelah meneliti laporan yang dikemukakan daripada pelbagai sudut.

 

Oleh itu, katanya, semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu patuh kepada keputusan tersebut.

 

“Ia adalah keputusan yang patut dihormati. Untuk itu semua pihak perlu berhenti membahaskannya terutama di dalam media sosial.

 

“Ketiga-tiga kertas siasatan SPRM tersebut termasuk melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kes membabitkan kes SRC International,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

 

Menurut Azalina lagi, mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan pendakwaan, tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum.

 

“ Di bawah Perkara 145(3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

 

“Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk Mahkamah,” jelasnya.

Previous
Next Post »
loading...