loading...

Akur Tidak Dijemput, Mukhriz Keluar Awal Mesyuarat MT

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Mukhriz Mahathir diarah meninggalkan mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini, menguatkan lagi spekulasi kedudukannya sebagai menteri besar Kedah akan berakhir.

 

Tidak sampai sejam selepas tiba di ibu pejabat parti di bangunan PWTC di sini, beliau kelihatan keluar dan bercakap dengan media.

 

Mukhriz, yang dilantik anggota MT atas kedudukannya sebagai ketua perhubungan Umno Kedah, berkata setiausaha agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengarahkannya meninggalkan mesyuarat tersebut.

 

Anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak menjelaskan sebab beliau tidak dibenarkan hadir.

 

“Beliau berkata mereka yang tidak diundang [ke mesyuarat] mesti beredar. Saya fikir arahan itu ditujukan kepada saya,” kata Mukhriz kepada media.

 

Beberapa jam sebelumnya, selepas solat Jumaat di Masjid Negara, beliau berkata tidak dimaklumkan langkah memecatnya daripada jawatan menteri besar Kedah yang disandang sejak pilihan raya umum 2013.

 

“Saya tidak terima sebarang maklumat,” katanya kepada media selepas menunaikan solat di situ bersama Mahathir, yang enggan memberi sebarang kenyataan tentang nasib anaknya itu.

 

Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini dilaporkan menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi membincangkan pengganti Mukhriz di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan di sini.

 

Minggu lalu, di satu sidang media, timbalan pengerusi perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama 14 ketua bahagian dan wakil-wakil rakyat negeri, menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...