loading...

Ahmad Maslan Rancang Tubuh Tentera Siber?

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang baru dilantik sebagai Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (BTM) parti itu dilaporkan telah memulakan langkah bagi memperbetulkan persepsi negatif rakyat terhadap UMNO dan kerajaan.

 

Beliau kini dikatakan sedang merancang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk mendapatkan pandangan serta maklumat termasuk mencari nama-nama sesuai bagi menganggotai unit ‘tentera siber’ UMNO.

 

“Untuk itu BTM ini bersahabat dengan rakan-rakan media sosial bagi mendapatkan segala pandangan mahupun berkongsi maklumat yang mungkin UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mengetahuinya,” katanya dipetik dari akhbar Mingguan Malaysia.

 

Usaha mewujudkan ‘tentera siber’ itu dipercayai bagi menandingi kekuatan siber parti pembangkang yang dilihat agak ke depan dalam melancarkan perang propaganda di media sosial.

 

Mengulas lanjut perancangannya itu, Ahmad Maslan menjelaskan usahanya untuk mewujudkan BTM di setiap bahagian dan cawangan UMNO seluruh negara.

 

“Peranan media sosial kini sudah menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesuatu ‘pertarungan’ dan untuk mengatasinya semua pihak perlu berganding bahu untuk bersama-sama memeranginya.

 

“BTM UMNO juga akan bekerjasama dengan media sosial yang selama ini menyokong dan mempertahankan kerajaan walaupun tanpa dikenali oleh mana-mana pihak,” jelasnya lagi.

 

Terdahulu, perlantikan Ahmad Maslan ke jawatan baru itu merupakan salah satu daripada penyusunan semula struktur Majlis Tertinggi UMNO, yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak Mesyuarat (MT) UMNO dua hari lalu.

 

Penyusunan semula MT 60 anggota itu bertujuan untuk memperkukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang yang dijangkakan berlangsung sebelum Jun 2018. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...